Kerjaya S. Shamsuddin

S. Shamsuddin memegang trofi Festival Filem Malaysia ke-22

Suatu hari, pada 1948, beliau melawat Studio Malay Film Productions Ltd (MFP) di Jalan Ampas hanya untuk melihat bagaimana perfileman dijalankan. Lawatannya ternyata bertuah kerana beliau diberikan peluang untuk menjadi pelakon tambahan dalam Chempaka yang di arah oleh B. S. Rajhans. Beberapa hari kemudian dia mencari kerja di MFP dan mendapat kerja sebagai tukang kayu bagi set studio dan filem. Sementara itu dia turut bekerja sebagai pelakon tambahan atau penari dalam filem. Akhirnya, dia diberi peranan dalam filem Aloha, yang diarah oleh B. S. Rajhans. Pak Sudin berlakon dalam beberapa babak yang memerlukan banyak dialog, yang dianggap besar bagi pelakon tambahan malah bagi pelakon baru. Peranan komedinya dalam filem dilakonkan bersama Osman Gumanti, Mariam Baharum, P. Ramlee, A. R. Tompel dan D. Harris, menonjolkan bakatnya dalam lakonan. Lebih banyak watak filem ditawarkan kepadanya, dan Sudin akhirnya menjadi pelakon tetap bagi filem Melayu era tersebut bersama Aziz Sattar, kedua-duanya muncul bersama pelakon terkenal P. Ramlee beberapa kali, terutamanya dalam siri Bujang Lapok.